Monday, 19 August 2013

Temu Ramah Bersama Tetyana Obukhanych, 13 Jun 2012 (Part 1)

Dr Tetyana Obukhanych, penulis buku ‘Vaccine Illusion’, telah menuntut dalam bidang imunologi di beberapa institusi perubatan yang terkemuka di dunia. Beliau memperoleh PhD dalam Imunologi daripada Rockerfeller University di New York dan menjalani latihan pra­­-perubatan di Harvard Medical School, Boston dan Standford University di California. Catherine Frompovich telah mengadakan temuramah yang mendalam dengan Dr Obukhanych.

Dr Tetyana Obukhanych adalah penulis buku Vaccine Illusion: Bagaimana Vaksinasi Melemahkan Sistem Imun Semulajadi dan Apa Yang Boleh Dilakukan untuk Mengembalikan Kesihatan. Di dalam bukunya, beliau telah mengetengahkan satu pandangan terhadap vaksinasi yang berbeza daripada teori umum. Sesuatu yang difikirkan menarik oleh penemuramah adalah Tetyana menganggap kempen vaksinasi sebenarnya melemahkan imuniti semulajadi dan membahayakan mereka yang masih kecil. Saya mengaku yang saya juga mempunyai pendapat yang serupa hasil daripada kerjaya saya sebagai Pakar Pemakanan dan pengkaji kesihatan pelanggan selama 35 tahun. Disebabkan inilah saya memohon satu temuramah diadakan dengan Dr Obukhanynch. Saya ingin mengorek pengetahuan beliau dan berkongsi ilmu dengan para pembaca.

CF: Catherine Frompovich - Penemuramah
TO: Tetyana Obukhanych

CF: Sebelum kita bermula dengan sesi temuramah, ada sesuatu yang ingin saya ketengahkan terlebih dahulu: Apakah kesan yang anda rasakan bakal dialami daripada vaksin yang dibiakkan pada pelbagai organ haiwan, seperti sel diploid (sel fetus manusia yang digugurkan), telur ayam, buah pinggang monyet, otak tikus, peparu babi, serangga dan kini, buah pinggang anjing, untuk satu vaksin yang diperkenalkan kepada United Kingdom pada Jun/Julai 2012?

Sudah kita ketahui bahawa DNA virus babi (porcine circovirus) telah ditemui di dalam vaksin Rotarix; virus kanser SV40 di dalam vaksin polio yang pertama digunakan pada 1950an hingga awal 1970an; Hepatitis A, rubella dan varicella (campak) yang telah dikulturkan pada sel diploid manusia WI-38 dan MRC-5; dan gabungan DNA yang dijumpai di dalam vaksin HPV, Gardasil. Apakah petanda daripada penemuan selepas-pemasaran ini dari pandangan anda sebagai pakar imunologi?

TO: Sebagai pakar imunologi, saya bimbang dengan amalan membuat vaksin menggunakan yis, telur, haiwan atau sel fetus manusia, yang mana ini menunjukkan bahawa vaksin perlu dimasukkan sejumlah protein atau produk lain daripada sel-sel ini atau media, di mana sel dikulturkan. Saya ingin mengetahui sekiranya dan sebaik manakah pembuat vaksin menguji produk akhir vaksin mereka untuk ‘bahan-bahan’ vaksin yang tidak diperjelaskan dan berapa banyakkah pencemaran yang mereka temui.

Mengapa saya bimbangkan pencemaran tersebut adalah kerana saya percaya bahawa pendedahan kepada yis, telur, haiwan atau protein manusia dalam konteks perangsang imunogenik (penghasilan antibodi) mempunyai potensi untuk menyebabkan kesensitifan terhadap protein ini atau mungkin juga mematahkan keseimbangan imunologi manusia terhadap diri sendiri. Keadaan ini lebih menjurus kepada bayi, kerana sistem imun mereka baru sahaja bermula untuk mengenali dan membezakan apakah ‘diri sendiri’ dan ‘benda asing’. Apabila sesi pengenalan ini bermula dengan cara yang salah, pada pandangan saya, ia cenderung untuk menuju ke arah pembentukan alahan/alergi atau kemunculan penyakit autoimun.

CF: Terima kasih Dr Obukhanych, untuk jawapan tepat tersebut, di mana saya sangat bersetuju sepenuhnya. Dr, sila terangkan apakah maksud anda dengan imuniti semulajadi.

TO: Imuniti adalah konsep purba yang merujuk kepada pemerhatian bahawa banyak penyakit berjangkit berlaku hanya sekali seumur hidup seseorang, selalunya dalam zaman kanak-kanak. Contoh penyakit adalah seperti campak, beguk, rubela, batuk kokol.

Imuniti semulajadi sebenarnya adalah suatu terma berulang, kerana secara asasnya imuniti hanya boleh diperolehi secara semulajadi, dan hanya melalui pendedahan kepada individu yang dijangkiti, walaupun ada ketikanya pendedahan terbabit boleh menimbulkan kesan sampingan sewaktu tubuh menghasilkan imuniti. Walaubagaimanapun, disebabkan terdapat salah anggapan yang vaksin adalah imuniti, ada masanya perlu untuk menggunakan perkataan ‘semulajadi’ apabila bercakap tentang imuniti, bagi membezakan ia dengan perlindungan berasaskan vaksin.

CF: Ah! Saya hargai kepintaran anda dalam penggunaan panggilan ‘perlindungan berasaskan vaksin’ berbanding imuniti. Kanak-kanak yang telah divaksinkan jatuh sakit disebabkan penyakit berjangkit yang mereka telah divaksinkan. Agaknya kenapa ‘imuniti’ vaksin ini terlalu singkat hayatnya dan tidak mencukupi?

TO: Kami menjangkakan yang individu yang telah divaksinasi tidak akan terlibat (atau penglibatan sebahagian kecil sahaja) dalam apa-apa wabak penyakit berjangkit yang mereka telah divaksinkan. Namun begitu, apabila wabak2 ini dianalisa, perkara yang sebenarnya bukanlah sedemikian. Individu yang telah divaksinkan adalah golongan yang sering terlibat dan menyumbangkan jumlah yang tinggi bagi kes penyakit tersebut.


Saya beranggapan perkara ini terjadi kerana vaksinasi tidak memenuhi mekanisma tulen imuniti. Vaksinasi kebiasaannya mencetuskan tindakbalas imun, iaitu apa yang pakar imunologi ‘ingin’ lihat bertindakbalas dalam sistem imun. Tetapi sebenarnya, ini tidak cukup untuk mewujudkan perlindungan yang utuh yang dapat menandingi imuniti semulajadi. Pengetahuan kita tentang sistem imun masih sangat kurang, masih tidak lengkap.

CF: Apakah jenis perlindungan yang kita dapat harapkan daripada vaksin, jika bukan imuniti sepanjang hayat?

TO: Bagi vaksin sumber hidup yang dilemahkan (menggunakan virus hidup), kita boleh mengharapkan perlindungan yang sangat singkat (3-5 tahun). Jangkaan ini hanyalah secara tidak langsung dan diperolehi daripada analisa statistik saat individu divaksinkan relatif kepada penemuan penyakit pada individu tersebut. Ini hanyalah bukti empirik untuk tempoh purata bagi perlindungan vaksin tertentu.

Terdapat vaksin lain (contohnya penyakit tidak berjangkit seperti tetanus atau penyakit viral yang merebak melalui gigitan haiwan, seperti penyakit anjing gila) atau vaksin seperti Hepatitis B dan Gardasil, di mana jangkaan empirik terhadap tempoh perlindungan tidak dapat dibuat langsung, kerana kita kekurangan data saintifik untuk tujuan tersebut.

CF: Apakah perbezaan antara fokus sains imunologi dengan imuniti semulajadi?

TO: Imunologi bukanlah bidang yang mengkaji imuniti. Imunologi sebenarnya mengkaji bagaimana sistem imun bertindakbalas terhadap imunisasi – iaitu penyuntikan protein/partikel asing (virus, bakteria). Kajian imunologi lebih memfokuskan kepada perubahan jangka masa panjang yang berlaku dalam organ imunologi dan cecair badan selepas imunisasi. Perubahan tersebut secara amnya dipanggil ‘ingatan imunologi’.

Tetapi persoalannya: apakah yang membuatkan pakar imunologi fikir/anggap yang ingatan imunologi adalah asas kepada imuniti? Saya tidak nampak sebarang bukti dalam kajian imunologi yang membolehkan saya merumuskan perkara ini. Apa yang saya nampak adalah ingatan imunologi merupakan asas kepada kesensitifan, bukan imuniti. Saya semakin meragui yang ingatan imunologi memberi manfaat kepada kita.

CF: Saya fikir anda merasakan imunologi sebenarnya mengkaji ciptaannya sendiri –iaitu vaksinasi - berbanding imuniti semulajadi manusia. Betul, kan? Apa yang menyebabkan anda cenderung ke arah rumusan ini setelah meraih sijil Ph.D dalam sains imunologi?

TO: Sebagai sains, imunologi bermula dengan penciptaan vaksin (vaksin cacar) sebelum sistem imun ditakrifkan lagi. Setelah itu, kajian imunologi asas telah dan masih dilakukan dengan menyuntik bendasing ke dalam haiwan kajian, berbanding mempelajari penyakit semulajadi atau keadaan semulajadi imuniti terhadap penyakit.

Mungkin adalah lebih mudah menjalankan eksperimen terhadap suntikan daripada panyakit semulajadi dalam persekitaran makmal. Mungkin ianya disebabkan kawajaran kaedah tersebut untuk mendapatkan keputusan kajian yang dikehendaki. Tetapi apa pun alasan untuk melakukan kajian terhadap suntikan berbanding kajian terhadap imuniti/penyakit semulajadi, ia secara tidak langsung telah meningkatkan pengetahuan kita terhadap proses buatan manusia.

Sistem yang kini kita panggil ‘sistem imun’ adalah sistem yang bertindakbalas terhadap suntikan antigen asing. Sistem imun, secara lahiriah, telah ditakrifkan oleh proses vaksinasi, bukan oleh proses imuniti semulajadi.

Tetapi, sekiranya tujuan asal sistem imun adalah untuk membentuk imuniti sepanjang hayat dengan pendedahan terhadap penyakit, apakah sistem yang benar2 bertindakbalas? Adakah ianya sistem yang sama yang bertindakbalas terhadap suntikan antigen asing, atau adakah ianya suatu sistem yang berbeza?

Inilah yang paling saya bimbangkan: antara semua perkara yang telah kita temui berkaitan sistem imun dalam konteks suntikan, adakah ia relevan dengan keadaan imuniti semulajadi? Jika ya, bagaimana kita tahu ianya relevan jika kita tidak pernah mengkaji imuniti semulajadi secara langsung?

Anda bertanya kepada saya apakah yang menyebabkan saya sedar masalah bagaimana sains imunologi mentafsirkan sistem ‘imun’ setelah memperoleh PhD dalam Imunologi. Awak seharusnya bertanya apakah keajaiban yang mendorong saya melihat masalah ini walaupun dengan PhD dalam Imunologi. Saya boleh beritahu anda yang apabila anda menyerahkan diri sepenuhnya dalam kajian imunologi, anda menjadi begitu terpengaruh dengan ‘kebenaran’ bidang ini sehingga peluang untuk anda untuk melihat masalah berkenaan anggapan paling asas ini (sistem imun) menjadi kosong. Kuasa ‘mempercayai’ takrifan yang dicipta oleh bidang ini adalah sangat kuat.

CF: Bolehkah kita bergantung kepada imunologi untuk memberikan jawapan tentang imuniti semulajadi?

TO: Saya fikir tidak boleh. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, tiada satu pun penyelidikan yang terkemuka dalam bidang Imunologi yang mengkaji proses semulajadi secara langsung. Sebaliknya, ia lebih kepada mewujudkan model jangkitan/imunisasi buatan dalam kajian terhadap haiwan, dan mempelajari tindakbalas imun dalam persekitaran buatan yang tidak semulajadi tersebut.

Bagaimana kita boleh meyakini bahawa ujikaji sedemikian mempunyai impak yang sama bagi proses semulajadi? Sememang tidak boleh. Namun, kita tetap mengusik sistem imun manusia dengan vaksin, hanya kerana ia mempunyai alasan yang kukuh daripada hasil dan keputusan kajian ke atas model buatan, walaupun kajian tersebut hanya memberi kita sedikit, jika bukan salah anggapan, kefahaman tentang tugas sebenar sistem imun dalam proses penyakit.

CF: Tidakkah dengan mengusik/mengganggu alam semulajadi dengan pengetahuan yang sedikit atau salah ini merbahaya, dan bukankah ia telah menyebabkan gangguan kesihatan yang ketara yang dialami oleh kanak-kanak kini?

TO: Saya sangat bersetuju. Saya telah sebutkan beberapa kebimbangan imunologi berkaitan vaksinasi dalam Vaccine Illusion, and saya akan rumuskan di sini:

Saya amat bimbang dengan realiti bahawa ‘ingatan imunologi’ vaksin yang mengandungi adjuvant ini merupakan asas kepada kesensitifan berbanding asas kepada imuniti. Saya juga sangat bimbang disebabkan oleh ‘kejayaan’ pencegahan penyakit alam kanak-kanak kesan daripada perlindungan jangka pendek yang ditawarkan oleh vaksin yang mengandungi virus hidup yang dilemahkan ini, kaum ibu tidak lagi mampu untuk memindahkan perlindungan imun kepada bayi justeru menyebabkan bayi lebih cenderung kepada jangkitan penyakit tersebut jika terdedah kepadanya.

Saya juga sangat bimbang dengan kempen vaksinasi yang mengganggu jangkitan penyakit, di mana ini akan mengurangkan peluang untuk terdedah kepadanya, walhal sepatutnya kita mewujudkan imunisasi sesebuah populasi tersebut. Dengan perbuatan sedemikian, kempen vaksinasi akan menghapuskan imuniti populasi terhadap penyakit alam kanak-kanak benbanding membantu mengekalkannya. Jika berkurun lepas, imuniti populasi terhadap penyakit zaman kanak-kanak ini ada dalam populasi orang dewasa, kini kempen vaksinasi telah memastikan ia tidak lagi berlaku.

Semua ini berlaku akibat hasil secara langsung daripada kesan vaksinasi yang ‘tidak diingini’, impak yang masih belum diteliti secara mendalam  sebelum memperkenalkan vaksinasi secara besar-besaran. Kita fikir cara vaksin bekerja adalah sama seperti imuniti semulajadi. Nampaknya tidak,dan kini kita sedang menanggung akibatnya.

CF: Saya ingin melihat apakah realiti sebenarnya, doktor.

TO: Realiti sebenar yang saya perkatakan adalah kebimbangan para ibubapa terhadap kesan buruk yang mereka dapati pada anak-anak mereka selepas vaksinasi yang begitu berbeza dengan dakwaan ‘saintifik’ oleh pihak berwajib yang mengatakan bahawa para ibubapa ini adalah salah dan dikaburi oleh syak wasangka sendiri, yang kononnya kecederaan vaksin yang sebenar adalah sangat jarang berlaku, yang ianya adalah merupakan kebarangkalian statistik yang tidak akan berlaku ke atas anak anda, yang kononnya ketakutan anda terhadap vaksinasi adalah tidak rasional dan berasas. Kita kembali ke topik ini kemudian.

CF: Jika anda ingin bertaruh, ke atas apakah anda akan letakkan wang pertaruhan anda, ke atas vaksin atau imuniti semulajadi? Kenapa?

TO: Bertaruh ke atas vaksin atau imuniti semulajadi untuk mencapai apa? Boleh anda perjelaskan kesan apakah yang anda maksudkan? Jika ia untuk menjadikan manusia tidak sesuai untuk hidup, jadi saya akan bertaruh ke atas vaksin.

CF: Doktor, anda boleh baca apa di fikiran saya.

BAHAGIAN 2
BAHAGIAN 3

Source: Translated into Malay from "Interview with PhD Immunologist, Dr Tetyana Obukhanych- part 1, by Catherine Frompovich" - http://www.vaccinationcouncil.org/2012/06/13/interview-with-phd-immunologist-dr-tetyana-obukhanych-by-catherine-frompovich/

1 comment: